SERAMAI 589 anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik COVID-19 menerima Bantuan Persekolahan dan Bantuan Menara Gading Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu diberikan kepada anak-anak yang belajar di peringkat prasekolah sehingga mahasiswa ijazah pertama di institut pengajian tinggi (IPT) sebanyak RM300 setiap seorang.
Menurut beliau, setakat ini yayasan tersebut meneruskan inisiatif membantu lebih 700 anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik COVID-19.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, YKM sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu COVID-19 dalam mendapatkan pendidikan.
Jelasnya, penubuhan YKM merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia terutama kepada anak-anak yang kehilangan ibu, bapa atau ibu bapa atau penjaga akibat pandemik COVID-19.
“Biar pun pandemik telah berlalu, namun kesan dan trauma yang dialami anak-anak ini adalah berpanjangan, mereka kehilangan orang yang tersayang dalam masa yang singkat dan tanpa diduga.
“YKM telah mengumpulkan lebih 5,000 data anak-anak yang kehilangan orang yang tersayang ini untuk disaring.
“Bantuan hanya disalurkan kepada anak-anak yang kurang berkemampuan daripada keluarga B40,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai simbolik penyampaian bantuan tersebut, Ismail Sabri telah mengunjungi kediaman keluarga Nabilah Nazurah Benyajeed iaitu kakak sulung kepada lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 pada tahun 2021 untuk menyerahkan bantuan berkenaan, semalam.
Beliau turut meluangkan masa selama sejam beramah mesra serta makan tengah hari bersama enam daripada lapan beradik tersebut iaitu Nazurah Nabilah, 22; Nurnasuhah Nabilah, 17; Muhammad Benjamin, 16; Muhammad Bennazir Sulaiman, 13; Nur Rawdah Nabilah, 11, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 7 tahun.
Anak kedua, Muhamad Muzakkir, 21; dan ketiga, Nurhani Nabilah, 19; tidak berada di rumah kerana bekerja dan belajar di Kolej Komuniti di Pulau Pinang.
Bapa kepada lapan beradik itu Benyajeed Bernie meninggal dunia pada 16 Julai 2021 manakala isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian akibat COVID-19.
Ismail Sabri pernah melawat lapan beradik yatim piatu itu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada tahun 2021.
Sejak itu, beliau terus menyantuni lapan beradik berkenaan pada setiap bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Sumber: Berita Harian