Berita Terkini

Yayasan Keluarga Malaysia sumbang RM300 kepada 589 anak yatim

Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan diserahkan bermula semalam untuk meringankan beban menyediakan kelengkapan persekolahan dan universiti.

PETALING JAYA: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyalurkan sumbangan RM300 seorang kepada 589 anak yatim kematian ibu bapa akibat Covid-19 menerusi inisiatif bantuan persekolahan dan menara gading.

Pengerusinya, Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas perdana menteri berkata bantuan itu disediakan untuk mengurangkan beban penjaga mereka untuk menyediakan kelengkapan pendidikan.

Penerimanya membabitkan murid prasekolah sehingga mahasiswa ijazah pertama di institut pengajian tinggi, yang merupakan sebahagian 700 anak yatim keluarga B40 dibantu yayasan berkenan.

“YKM sentiasa mencari cara dan ruang untuk membantu anak yatim kehilangan keluarga tersayang akibat Covid-19 dalam mendapat pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, penubuhan YKM adalah sebagai manifestasi kasih sayang seluruh keluarga Malaysia, terutama kepada anak kehilangan ibu, bapa atau ibu bapa serta penjaga akibat Covid-19.

“YKM telah mengumpulkan lebih 5,000 data anak-anak yang kehilangan orang tersayang untuk disaring. Bantuan hanya disalurkan kepada anak-anak kurang berkemampuan daripada keluarga B40,” katanya.

Sebagai simbolik penyampaian bantuan, Ismail semalam mengunjungi rumah keluarga Nabilah Nazurah Benyajeed, kakak sulung kepada lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19, tiga tahun lalu.

Dalam lawatan ke Bukit Beruntung, perdana menteri kesembilan itu turut meluangkan masa beramah mesra serta makan tengah hari bersama enam daripada lapan beradik tersebut iaitu Nazurah Nabilah, 22; Nurnasuhah Nabilah, 17; Muhammad Benjamin, 16; Muhammad Bennazir Sulaiman, 13; Nur Rawdah Nabilah, 11, dan Nur Qurratu Ain Nabilah yang berusia tujuh tahun.

Bapa mereka Benyajeed Bernie meninggal dunia pada 16 Julai 2021 manakala ibu Noraini Ibrahim menghembuskan nafas terakhir dua hari kemudian, juga akibat Covid-19.

Sumber: FMT

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp

Artikel Terkini

Artikel Terkini