KUALA LUMPUR: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyalurkan sumbangan RM300 seorang kepada 589 anak yatim kematian ibu bapa akibat COVID-19 menerusi inisiatif bantuan persekolahan dan menara gading.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas Perdana Menteri, berkata bantuan itu disediakan untuk mengurangkan beban keluarga untuk menyediakan kelengkapan pendidikan, khususnya ketika bermula sesi baharu persekolahan.
Beliau berkata, penerimanya membabitkan murid prasekolah sehingga mahasiswa ijazah pertama di institut pengajian tinggi (IPT), yang merupakan sebahagian 700 anak yatim keluarga B40 dibantu yayasan berkenan.
“YKM sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu anak yatim terbabit untuk mendapatkan pendidikan, terutama yang belajar di peringkat prasekolah sehingga tamat ijazah pertama di IPT,” katanya dalam kenyataan.
Ismail Sabri berkata, penubuhan YKM adalah sebagai manifestasi kasih sayang seluruh KELUARGA Malaysia, terutamanya kepada anak yang kehilangan ibu bapa atau dan penjaga akibat pandemik COVID-19.
“Biarpun pandemik sudah berlalu, kesan dan trauma yang dialami anak ini adalah berpanjangan, mereka kehilangan orang tersayang dalam masa amat singkat serta tanpa diduga.
“YKM telah mengumpulkan lebih 5,000 data anak yang kehilangan orang tersayang ini untuk disaring. Bantuan hanya disalurkan kepada anak-anak yang kurang berkemampuan daripada keluarga B40,” katanya.
Beliau berkata, selain dua bantuan itu YKM akan terus menyalurkan bantuan lain dan mengadakan program khusus untuk memastikan anak berkenaan terus terbela.
“Anak yang layak menerima bantuan ini dimaklumkan melalui mesej WhatsApp dan surat yang dipos ke alamat rumah masing-masing,” katanya.
Sumber: Berita Harian