Berita Terkini

Yayasan Keluarga Malaysia salur RM1.27 juta, bantu anak yatim piatu akibat COVID-19

KUALA LUMPUR: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntukkan sebanyak RM1.27 juta untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu akibat COVID-19 menerusi Bantuan YKM dan Bantuan Persekolahan.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Bantuan YKM akan dikreditkan terus ke akaun penerima dalam tiga fasa iaitu pada 20 Mac, Julai dan November ini, membabitkan dua kategori penerima iaitu A dan B.

Kategori A membabitkan penerima berusia sehari hingga 15 tahun yang akan menerima sumbangan RM2,000, manakala kategori B membabitkan anak-anak berusia 16 tahun sehingga tamat ijazah sarjana muda pertama menerima sumbangan RM2,500.

Beliau berkata, ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini, YKM turut menyalurkan Bantuan Persekolahan sebanyak RM300 kepada setiap 589 penerima membabitkan peruntukan keseluruhan RM176,700.

“Biarpun sudah dua tahun berlalu, kesan pandemik ini masih terasa. Ada antara anak-anak ini masih trauma. Anak-anak ini tidak boleh dilupakan.

“Mereka masih memerlukan bantuan, bagaimanapun YKM tidak mampu melakukannya bersendirian. Kami menyeru golongan korporat dan orang ramai untuk bersama-sama membantu anak-anak ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ismail Sabri menghadiri majlis berbuka puasa dan menyerahkan Bantuan YKM kepada 109 anak-anak yatim akibat COVID-19 di sebuah hotel di sini hari ini, yang juga simbolik kepada permulaan penyaluran Bantuan YKM bagi tahun ini.

Anak-anak yatim berkenaan turut dibawa ke pusat beli-belah Sogo di sini untuk membeli baju raya sebagai persiapan menjelang Aidilfitri bulan depan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp

Artikel Terkini

Artikel Terkini