Berita Terkini

Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) salur RM1.27 juta bantu anak-anak Covid-19

KUALA LUMPUR — Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntukkan sebanyak RM1.27 juta untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu akibat Pandemik COVID-19.

Peruntukan tersebut disalurkan dalam dua bantuan iaitu Bantuan YKM dan Bantuan Persekolahan.

Bantuan YKM melibatkan dua kategori iaitu kategori A dari usia sehari sehingga 15 tahun, menerima sumbangan sebanyak RM2,000. Kategori B membabitkan anak-anak berusia 16 tahun sehingga tamat ijazah sarjana muda pertama, menerima sumbangan sebanyak RM2,500.

Bantuan YKM akan dikreditkan terus ke akaun penerima dalam tiga fasa iaitu pada 20 Mac ini, Julai dan November.

Ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini, pihak Yayasan telah menyalurkan Bantuan Persekolahan sebanyak RM300 kepada setiap penerima. Ia membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM176,700 dan 589 penerima.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan memastikan anak-anak yatim ini mendapat pendidikan yang sempurna sehingga berusia 18 tahun atau tamat ijazah pertama di institut pengajian tinggi.

“Biarpun sudah dua tahun berlalu, kesan pandemik ini masih terasa. Ada di antara anak-anak ini masih trauma.”

“Anak-anak ini tidak boleh dilupakan. Mereka masih memerlukan bantuan, bagaimanapun YKM tidak mampu melakukannya bersendirian. Kami menyeru golongan korporat dan orang ramai untuk bersama-sama membantu anak-anak ini,” katanya.

Terdahulu, beliau berbuka puasa dan menyerahkan Bantuan YKM kepada 109 anak yatim COVID-19 di Hotel IDEAS, Kuala Lumpur. Ia merupakan simbolik kepada permulaan penyaluran Bantuan YKM bagi tahun 2024.

Majlis tersebut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YKM, Datuk Ruhaidini Abd Kadir dan rakan-rakan media.

Anak-anak tersebut turut dibawa ke SOGO untuk membeli baju raya di SOGO Kuala Lumpur sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.

Sumber: BebasNews

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp

Artikel Terkini

Artikel Terkini