Kuala Lumpur: Pandemik COVID-19 sememangnya meninggalkan banyak kenangan pahit.
Ramai hilang insan tersayang, anak-anak menjadi yatim atau piatu, yang bekerja pula hilang pendapatan akibat diberhentikan atau tempat mencari rezeki mengecilkan operasi.
Prihatin dengan nasib malang kanak-kanak kehilangan ibu, bapa atau penjaga akibat virus berbahaya itu, Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) tampil menghulurkan bantuan melalui dua bentuk sumbangan, masing-masing secara ‘one-off’ dan bantuan persekolahan untuk mereka berusia 18 tahun ke bawah.
Menurut YKM, bantuan menara gading pula disediakan untuk mereka yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) hingga tamat ijazah sarjana muda pertama.
“Bantuan YKM secara ‘one-off’ terbahagi kepada dua pengkelasan, masing-masing Kategori A untuk penerima berusia sehari hingga 15 tahun dengan sumbangan RM2,000. Kategori B untuk penerima usia 16 tahun hingga tamat ijazah sarjana muda pertama dengan sumbangan RM2,500.
“Keseluruhan dana disalurkan dalam tiga fasa. Yang belajar pada peringkat prasekolah, bermula dari usia enam tahun pula diberi bantuan RM300,” katanya.
YKM diasaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dilancarkan pada Oktober 2021, menyediakan perlindungan kepada anak yatim dan piatu.
Yayasan itu menerima 5,537 data kanak-kanak terjejas akibat pandemik COVID-19 dan kemalangan daripada pelbagai agensi kerajaan, termasuk 112 permohonan secara terus, namun hanya 670 permohonan yang disaring, layak menerima bantuan YKM.
“Data sama turut disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengelak pertindihan bantuan. Hanya B40 dan ke bawah layak terima bantuan YKM, kriteria utama adalah anak yatim atau piatu yang kehilangan ibu, bapa mahupun penjaga akibat COVID-19.
“Mereka juga bukan penerima bantuan tetap mana-mana agensi kerajaan. Permohonan sentiasa terbuka dan kumpulan sasar boleh menghubungi YKM yang akan membantu mereka mendapatkan pendidikan sempurna hingga tamat pengajian,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, YKM menyalurkan bantuan persekolahan RM300 setiap seorang kepada 589 penerima, membabitkan peruntukan keseluruhan RM176,700 untuk sesi persekolahan baharu awal bulan ini.
“Sumbangan tunai RM1,000 turut dikreditkan ke akaun lebih 500 penerima atau penjaga sempena Aidilfitri. YKM akan sentiasa menjaga kebajikan mereka sejak lahir hingga tamat pembelajaran di IPT, manakala yang tidak menyambung pengajian pula sehingga berusia 18 tahun,” katanya.
Ahli Parlimen Bera itu berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang menyalurkan peruntukan bagi membiayai inisiatif yayasan berkenaan, selain berharap lebih banyak syarikat swasta turut tampil membantu membiayai program yang dirancang dan akan dilaksanakan YKM.
Sumber: Berita Harian