Seremban: Selepas sekian lama berdepan dugaan dan dirundung kegelapan, akhirnya ada cahaya yang menyinari kehidupan empat beradik, di sini.
Sembilan tahun terputus hubungan dengan bapa kandung, kesedihan mereka berganda apabila ibu tersayang, G Tamil Selvi, meninggal dunia akibat Covid-19 pada 18 September 2021.
Semua itu dilalui empat beradik iaitu M Ranjini, 17; R Sumen, 15; R Kishor, 14; dan Bhuvana, 10, dengan menumpang teduh di rumah datuk, S Gunasigaram, 61, yang uzur dan tidak bekerja.
Kesempitan dialami empat beradik itu mendapat perhatian Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang tampil membantu meringankan beban ditanggung.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya memperuntukkan RM10,900 setahun bagi meringankan beban empat adik beradik yatim terbabit.
“Mereka berdepan dugaan amat besar untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Situasi ini akan memberi kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberi perhatian serius terhadap masa depan mereka.
“Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim di keliling kita,” katanya kepada media selepas menyantuni empat beradik berkenaan di Taman Bukit Mutiara, di sini, hari ini.
YKM turut menyampaikan sumbangan kepada sembilan lagi keluarga mangsa Covid-19 yang bakal menyambut Deepavali tidak lama lagi.
Ismail Sabri berkata, sembilan keluarga itu membabitkan lima keluarga di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Melaka dan Pahang.
Sumber: Berita Harian