Berita Terkini

5,000 sertai Larian Keluarga Malaysia 2024 di Cyberjaya Ahad ini

KUALA LUMPUR : Buat julung kalinya, penganjuran Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang akan berlangsung di Persiaran Flora, Cyberjaya, Ahad ini, menyaksikan penyertaan hampir 5,000 peserta merentasi pelbagai negara dan peringkat usia.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Pengerusi YKM, berkata sambutan luar jangka acara sulung ini mendapat penyertaan daripada 10 negara seperti Kenya, Mesir, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jepun dan Indonesia.

Beliau berkata, penganjuran acara itu bagi mengumpul dana untuk membantu golongan memerlukan termasuk mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat wabak COVID-19.

“Larian Keluarga Malaysia 2024 adalah acara larian yang kali pertama dianjurkan oleh YKM dan penyertaan diterima amat memberangsangkan.

“Sebelum ini, YKM menyasarkan sebanyak 3,000 peserta sahaja, bagaimanapun sambutan amat luar biasa.

“Larian Keluarga Malaysia 2024 adalah larian amal untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acara ini terbahagi tiga kategori iaitu kategori 5 kilometer (km), 10km dan 21km.

Pada Ahad ini, Ismail Sabri sendiri akan menyertai acara larian bagi kategori 5km, bersama bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba serta lebih 40 anak-anak yatim dan yatim piatu YKM.

Duta LKM yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh dan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming akan turut serta bagi kategori 10km.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula akan menyertai kategori 21km.

Selain itu, cabutan bertuah dengan hadiah bernilai lebih RM70,000 menanti peserta bertuah pada hujung minggu ini.

Sumber: Berita Harian

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp

Artikel Terkini