Berita Terkini

Yayasan Keluarga Malaysia ringankan kesempitan hidup empat beradik

SEREMBAN: Selepas sekian lama berdepan dugaan dan dirundung kegelapan, akhirnya ada cahaya yang perlahan-lahan menyinari kehidupan empat beradik.

Sembilan tahun terputus hubungan dengan bapa kandung, kesedihan mereka berganda apabila ibu tersayang, G Tamil Selvi, meninggal dunia akibat COVID-19 pada 18 September 2021.

Semua itu dilalui empat beradik iaitu M Ranjini, 17; R Sumen, 15; R Kishor, 14; dan Bhuvana, 10, Mereka menumpang teduh di rumah datuk, S Gunasigaram, 61, yang uzur dan tidak bekerja.

Kesempitan dialami empat beradik itu mendapat perhatian Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang tampil membantu meringankan beban ditanggung.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya memperuntukkan RM10,900 setahun bagi meringankan beban empat adik beradik yatim terbabit.

“Mereka berdepan dugaan amat besar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Situasi ini akan memberi kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberi perhatian serius terhadap masa depan mereka.

“Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim di keliling kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni empat beradik berkenaan di rumah datuk mereka di Taman Bukit Mutiara, di sini, petang tadi.

YKM turut menyampaikan sumbangan kepada sembilan lagi keluarga mangsa COVID-19 yang bakal meraikan ari Deepavali tidak lama lagi.

Ismail Sabri berkata, sembilan keluarga itu membabitkan lima keluarga di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Melaka dan Pahang.

“Mereka akan menerima sumbangan sama seperti hari ini dan dikreditkan ke akaun masing-masing,” katanya.

Katanya, YKM yang ditubuhkan pada 2021 memperuntukkan RM5 juta setahun untuk membantu hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu merentasi agama dan bangsa.

“Kita menyediakan Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pengurusan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, YKM sedang melaksanakan pemutihan data bagi mengemas kini maklumat diri dan keluarga bagi memudahkan penyaluran bantuan dan program untuk 2025,” katanya.

Sementara itu, Ranjini merakamkan penghargaan atas keprihatinan YKM membantu mereka sekeluarga.

“Saya tidak sangka ada pihak sudi membantu kami dan ia amat besar ertinya bagi kami menjelang sambutan Deepavali tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp

Artikel Terkini