Berita Terkini

42 anak yatim piatu di bawah jagaan YKM di Sarawak terima sumbangan sempena Krismas 

KUCHING: Seramai 42 anak yatim piatu di bawah jagaan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di Sarawak menerima sumbangan sempena sambutan Krismas yang bakal tiba.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan tersebut turut diberikan kepada 21 keluarga yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Jelasnya, program itu bagi menyokong anak-anak yang kehilangan ibu bapa semasa pandemik COVID-19 dan memberikan mereka sedikit keceriaan sempena musim perayaan.

Agihan sumbangan ini juga mencerminkan komitmen YKM dalam menjaga kebajikan masyarakat di seluruh negara.

“Ini adalah salah satu inisiatif tahunan Yayasan Keluarga Malaysia untuk membantu anak-anak yatim piatu. 

“Untuk Krismas kali ini, Sarawak dipilih sebagai lokasi agihan, jika bagi komuniti Muslim, sumbangan diberikan semasa Aidilfitri, manakala baru-baru ini, kita juga memberi sumbangan sempena Deepavali,” katanya ketika ditemui pemberita di Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.

Selain menyampaikan sumbangan, beliau turut mengambil peluang untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Ini adalah kunjungan pertama saya ke Sarawak selepas pilihan raya yang lalu dan pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu.

“Saya mempunyai hubungan yang rapat dengan beliau (Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi) kerana semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau merupakan Menteri Undang-Undang,” tambahnya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp

Artikel Terkini