Berita Terkini

Ismail Sabri santuni dua keluarga penerima bantuan YKM

KUCHING: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyalurkan Bantuan Kasih secara berfasa kepada 977 penerima sejak 2022 termasuk seramai 47 penerima bantuan daripada 21 keluarga di Sarawak.

Sarawak tourism

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, anak-anak berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun, manakala remaja berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun.

“Jumlah sumbangan dijangka meningkat tahun hadapan, susulan kita menerima sebanyak 850 permohonan baharu di seluruh negara dan masih lagi dalam proses semakan serta tapisan,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata kadar bayaran bagi penerima di bawah 16 tahun akan dinaikkan kepada RM2,400 bermula tahun hadapan dengan kadar bayaran RM200 setiap bulan.

Pada masa yang sama, pemohon yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui e-mel dan WhatsApp.

“Seramai 20 anak yatim dan yatim piatu di bawah kendalian YKM yang beragama Kristian akan menerima sumbangan Hari Natal sebanyak RM300 setiap seorang melalui akaun bank masing-masing bermula esok,” katanya.

Terdahulu, beliau menyantuni dua keluarga di sekitar Kuching sempena Hari Natal dan menziarahi pemohon baharu bantuan YKM.

Keluarga pertama ialah Tina Bong, 50, yang kehilangan suami Sim Siang Yeong, 53, akibat Pandemik COVID-19 pada Oktober 2021. Dia kini menumpang hidup di rumah milik mentua bersama-sama dua anaknya iaitu Ethan Sim Yong Ching, 18, dan Evan Sim Yong Ching, 15.

Tina juga terpaksa menjaga kedua-dua mentuanya yang berusia 87 dan 85 tahun yang uzur. Dia hanya bekerja sendiri dari rumah iaitu membantu memasak jika ada permintaan dengan pendapatan yang tidak menentu.

Beliau juga menziarahi keluarga Rimanoraishahida Sarbini, 37, yang kematian suami, Mohamad Nuryasri Suut yang berusia 40 tahun pada 14 September 2021 akibat Pandemik COVID-19.

Dia menjaga tiga anaknya iaitu Muhammad Iman Darius, 16, Nur Iman Amani, 14, dan Nur Iman Aleeya yang berusia 13 tahun dengan pendapatan RM700 sebulan sebagai pengasuh kanak-kanak.

Sumber: Berita Harian

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp

Artikel Terkini