Berita Terkini

Ismail Sabri santuni 2 keluarga di Sarawak sempena Hari Natal

Bekas perdana menteri itu turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan yang kehilangan ‘tonggak utama’ akibat Covid-19.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa menyantuni dua keluarga di Kuching, Sarawak semalam yang kehilangan ‘tonggak utama’ akibat Covid-19 pada 2021 sempena Hari Natal yang bakal disambut tidak lama lagi.

Selepas kehilangan suami, Tina Bong, 50, terpaksa menumpang di rumah milik mentua bersama-sama dua orang anaknya iaitu Ethan Sim Yong Ching, 18, dan Evan Sim Yong Ching, 15.

Pendapatan Tina pula tidak menentu kerana hanya bekerja pembantu memasak sekiranya ada permintaan dan pada masa sama juga perlu menjaga kedua-dua mentuanya yang uzur berusia 87 dan 85 tahun.

Ismail yang juga pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata, bantuan wang tunai disalurkan kepada Tina dan keluarga bagi memastikan mereka dapat menyambut Hari Natal dengan penuh kegembiraan.

“Seramai 20 anak-anak yatim dan yatim piatu bawah kendalian YKM yang beragama Kristian turut menerima sumbangan Hari Natal sebanyak RM300 seorang melalui akaun bank masing-masing bermula esok,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, bantuan kasih secara berfasa juga diberikan kepada 977 penerima sejak 2022 termasuk seramai 47 penerima bantuan daripada 21 keluarga di Sarawak.

Katanya, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun.

“YKM membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini untuk Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading, Hadiah Kecemerlangan Akademik, Sumbangan Perayaan dan Bantuan Bencana serta pengurusan.

“Jumlah sumbangan dijangka meningkat pada tahun hadapan, kita menerima sebanyak 890 permohonan baharu dan masih lagi dalam proses semakan serta tapisan,” katanya.

Ismail juga menziarahi keluarga Rimanoraishahida Sarbini, 37, di Taman Malihah yang merupakan pemohon baharu bantuan YKM. Suaminya meninggal dunia pada Sep 2021 akibat pandemik Covid-19.

“Dia terpaksa menjaga tiga orang anaknya iaitu Muhammad Iman Darius, 16, Nur Iman Amani, 14, dan Nur Iman Aleeya, 13, dengan pendapatan RM700 sebulan sebagai pengasuh kanak-kanak.

“Setelah meneliti taraf hidup keluarga ini, YKM bersetuju untuk memasukkan ketiga-tiga anaknya sebagai penerima bantuan yayasan ini bermula tahun hadapan,” katanya sambil menambah surat kelulusan permohonan YKM turut diserahkan ketika kunjungan.

Sumber: Berita Harian

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp

Artikel Terkini