Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob berkata sumbangan itu disampaikan ketika kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
PETALING JAYA: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyampaikan sumbangan kepada 47 anak yatim Covid-19 di Sarawak sempena Hari Natal yang akan diraikan tidak lama lagi.
Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob, berkata penerima dari 21 keluarga itu terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.
Beliau berkata, sumbangan itu disampaikan ketika kunjungan hormatnya ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, Kuching, hari ini.
“Ketika kunjungan hormat ini, saya menjelaskan program yang dilaksanakan YKM bagi membantu anak yatim dan yatim piatu akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Bekas perdana menteri itu berkata, Wan Junaidi yang bertanggungjawab meluluskan pendaftaran YKM ketika beliau menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).
Menurutnya, kunjungan itu turut disertai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam selaku menteri pengiring sepanjang beliau berada di Kuching.
Sumber: Berita Harian