Inisiatif yang digerakkan sejak 2022 babit bantuan secara sekali beri dan bulanan, melibatkan peruntukan RM5 juta setahun.
PETALING JAYA: Seramai 977 anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19 menerima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).
Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob, berkata Bantuan Kasih yang digerakkan sejak 2022 itu membabitkan bantuan secara sekali beri dan bulanan, melibatkan peruntukan RM5 juta setahun.
“Anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun,” menurut kenyataan.
Sementara itu, Ismail yang juga bekas perdana menteri memaklumkan pihaknya memulakan tahun baharu dengan menyantuni tiga keluarga di Pasir Mas dan Kota Bharu, sebagai komitmen berterusan memelihara kebajikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Dalam pertemuan itu, mereka menerima bantuan tunai sebagai simbolik permulaan Bantuan Kasih YKM pada tahun ini.
Bantuan tahun ini akan diberikan secara bulanan berbanding tahun lepas yang diberi secara tiga kali setahun, katanya.
Di Kelantan, sebanyak 35 keluarga merangkumi 105 penerima merupakan penerima Bantuan Kasih YKM 2024, dan juga penerima bantuan sewaktu Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kelantan.
Para penerima ini terkesan akibat Covid-19 dan berpendapatan rendah.
“YKM komited untuk meneruskan pemberian Bantuan Kasih YKM pada tahun ini kepada keluarga yang layak terutama mereka yang berada di kelompok B40.
“Ini adalah tanggungjawab YKM yang paling mustahak,” katanya.
Sumber: Berita Harian