Bekas PM itu turut menyalurkan sumbangan kepada keluarga yang juga antara penerima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia.
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa menyantuni seorang ibu tunggal dan dua anaknya sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
Kehidupan Na Ai Tin, 43, yang bekerja sebagai pembantu jualan di kedai buah milik adiknya di Jenjarom, Kuala Langat, berubah selepas kehilangan suami pada Ogos 2021 akibat wabak Covid-19.
Na yang menyewa rumah tidak jauh dari tempat kerjanya kini terpaksa berhempas pulas menyara dua anak yang masih bersekolah, iaitu Tan Fu Xiang, 17, dan Tan Yan Shi, 14.
Ismail yang juga pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata, ibu tunggal itu dan anak-anaknya antara 16 penerima berbangsa Cina di seluruh negara menerima bantuan khas sempena Tahun Baharu Cina.
“Sepanjang tahun lepas, setiap kali musim perayaan, YKM pasti akan turun padang menyantuni keluarga-keluarga penerima Bantuan YKM, dan kali ini YKM mengenal pasti keluarga Na Ai Tin.
“Semua penerima akan menerima sumbangan sebanyak RM300 bermula hari ini melalui pembayaran dalam talian,” katanya.
Program ini juga mendapat tajaan daripada pasar raya besar terkemuka Aeon BiG.
Ismail berharap sumbangan itu dapat memberikan kegembiraan kepada semua penerima yang akan membuat persiapan perayaan, sekali gus meringankan beban yang ditanggung.
Katanya, YKM juga akan mula mengkreditkan Bantuan Kasih kepada semua penerima yang layak pada 30 hari bulan, setiap bulan.
“Dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah YKM pada Disember lalu, kita bersetuju memberi secara bulanan kepada semua penerima yang layak, agar (mereka) dapat menggunakan bantuan dengan sebaiknya tanpa perlu menunggu lama.
“InsyaAllah, pada 30 Jan ini, dan pada tarikh yang sama setiap bulan, bantuan akan dikreditkan secara dalam talian,” katanya.
Ismail berkata, Bantuan Kasih disalurkan kepada hampir 1,000 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM3 juta setahun.
Jumlah ini dijangka meningkat kerana pihaknya masih menerima permohonan baharu dan sedang dalam proses tapisan, tambahnya.
Sumber: Berita Harian