KUALA LUMPUR: Dengan semangat Keluarga Malaysia perlu mengetepikan semua perbezaan, sebaliknya berganding bahu membina Malaysia yang berdaya saing dan berdaya tahan serta kalis cabaran.
Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak perlu kumpulkan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada.
“Di sebelah sini dan di sebelah sana, untuk bersama-sama merealisasikan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Kita mesti mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat, demi Keluarga Malaysia.
“Saya yakin, berkat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, melalui perancangan lima tahun ini, Malaysia mampu bangkit semula, kita boleh melakar masa hadapan yang lebih baik,” katanya ketika membentang RMK12 pada di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya juga pada penghujung tempoh RMKe-11 menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global dan impak pandemik Covid-19.
Kata beliau dalam tempoh 18 bulan lalu, kerajaan menumpukan usaha melindungi nyawa dan kehidupan Keluarga Malaysia.
“Sekarang, sudah tiba masanya untuk kita memberi tumpuan kepada agenda menyusun semula dan mengembalikan kekuatan dan daya saing ekonomi negara,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata, RMK12 dirangka dengan mengambil kira perubahan landskap ekonomi global dan domestik serta keperluan menangani isu semasa demi masa depan Keluarga Malaysia lebih cerah.
RMK12 dengan tema ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ menggariskan perancangan strategik yang komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dengan guna tenaga mahir.
Langkah itu ke arah mencapai pertumbuhan inklusif tanpa mengabaikan alam sekitar.
Pada masa yang sama kata pedana menteri kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.
“Sesungguhnya krisis ini menyatukan kita semua. Krisis ini juga membuka peluang kita membuat transformasi.
“Pada 13 September lalu, kita telah mencipta sejarah. Buat pertama kali, kerajaan dan Pakatan Harapan mematerai Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik.
“Harapan saya, persefahaman ini akan membolehkan kita memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik dan meletakkan negara pada asas pertumbuhan yang lebih kukuh,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/9/2021
Sumber : Harakah Daily