最新新闻

Konsep Keluarga Malaysia disifatkan inklusif

KUALA LUMPUR: Frasa Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sangat inklusif dan dekat dengan semua lapisan masyarakat di negara ini.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata konsep itu antara lain mempamerkan nilai prihatin dan kasih sayang antara semua lapisan masyarakat sebagai keluarga besar Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, justeru tanggungjawab semua untuk bersama menghargai persamaan, bukannya perbezaan supaya mampu membina semula Malaysia.

“Perdana Menteri hari ini memperkenalkan frasa Keluarga Malaysia mengajak seluruh rakyat negara ini, merentasi fahaman politik, tidak kira kaum dan agama untuk mendakap erat prinsip kebersamaan bagi memastikan kita semua bersama-sama keluar daripada pandemik ini.

“Saya amati bait-bait berkenaan, setiap tingkah dilakukan umpama ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’.

“Keringat dan nilai sesuap nasi cukup difahami, beliau sedang berperanan sebagai Perdana Menteri untuk semua, demi menjaga nyawa, keringat dan nilai sesuap nasi semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri memperkenalkan frasa berkenaan kerana bagi beliau konsep Keluarga Malaysia diambil susulan keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, mengakui yakin dan percaya dengan kadar vaksinasi negara kini berada pada tahap baik.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu antara lain menyifatkannya sebagai petanda positif dan akan terus dapat dilihat dari semasa ke semasa, sama ada dari segi kesihatan rakyat mahupun ekonomi negara.

Katanya, ia sebagai penanda aras baharu kepada kerajaan yang menunjukkan langkah ke hadapan dalam mendekati golongan belia demi masa depan negara.

“Apa yang menarik perhatian saya ialah Perdana Menteri menyatakan komitmen kerajaan untuk mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda dalam menjayakan agenda besar pemulihan negara.

“Sememangnya ini yang menjadi harapan anak muda terhadap kerajaan, supaya suara mereka didengari dan diambil kira ketika kerajaan membuat keputusan untuk negara.

“Seperti Perdana Menteri, saya juga berharap seluruh Keluarga Malaysia dapat bekerja bersama-sama membangunkan negara selepas tamat pandemik ini,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Share:

Facebook
LinkedIn
WhatsApp