PETALING JAYA – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan ucapan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan konsep menepati matlamat parti yang meletakkan perpaduan sebagai asas negara Malaysia.
Setiausaha Agungnya, Datuk Zambry Abd. Kadir berkata, negara kita dengan latar pelbagai bangsa, suku kaum dan agama serta wilayah, konsep ‘Keluarga Malaysia’ adalah cerminan sebenar negara.
“Kita berharap konsep tersebut akan mengukuhkan perpaduan serta tekad seluruh rakyat untuk sama-sama menggembleng tenaga dan fikiran bagi memacu pertumbuhan Malaysia dan memperkasa kesejahteraan rakyat.
“Ucapan sulung Perdana Menteri itu amat tepat dan diharapkan menjadi penyatu seluruh warga dalam menghadapi kemelut negara ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zambry, komitmen Perdana Menteri menjadi neraca yang baik untuk beliau memulakan langkahnya dalam menerajui pentadbiran negara di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19, kesuraman ekonomi dan kesukaran kehidupan sosial.
“BN akan terus memberikan komitmen mempertahankan kestabilan politik negara dan bersama-sama Perdana Menteri mengharungi cabaran semasa negara ketika ini,” jelasnya.- K! ONLINE
Sumber : Kosmo!