PETALING JAYA: “Sudah tiba masanya untuk kita memberi tumpuan kepada agenda menyusun semula dan mengembalikan kekuatan dan daya saing ekonomi negara.”
Demikian ucapan penutup pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut berbangga dengan pencapaian kerajaan Malaysia dan Pakatan Harapan (PH) dengan memeterai Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik.
“RMKe-12 telah dirangka dengan mengambil kira perubahan dalam landskap ekonomi global dan domestik serta keperluan menangani isu semasa demi masa depan Keluarga Malaysia yang lebih cerah. Dengan objektif “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan”.
“Sesungguhnya krisis ini telah menyatukan kita semua. Krisis ini juga telah membuka peluang untuk kita membuat transformasi.
“Pada 13 September lalu, kita telah mencipta sejarah. Buat pertama kali, Kerajaan dan Pakatan Harapan telah memeterai Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik. Ini adalah hasil daripada dasar Kerajaan yang inklusif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ismail Sabri, RMKe-12 menggariskan perancangan strategik yang komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dengan guna tenaga mahir ke arah mencapai pertumbuhan inklusif tanpa mengabaikan alam sekitar.
“Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita ketepikan semua perbezaan, berganding bahu untuk membina Malaysia yang berdaya saing dan berdaya tahan serta kalis cabaran.
“Mari kita kumpulkan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada di sebelah sini dan di sebelah sana, untuk bersama-sama merealisasikan matlamat RMKe-12,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Sumber : Utusan Malaysia