KUALA LUMPUR: Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia berlandaskan nilai sedia ada yang dimiliki dalam setiap keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata apa yang dilakukan kerajaan ialah mengharmoni dan mengangkat nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia, dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.
Katanya, semua nilai Keluarga Malaysia berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub dalam Rukun Negara.
“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia.
“Apabila membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia,” katanya berucap pada prapelancaran Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.
Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut menyarungkan rompi kepada lima menteri yang terbabit dalam penyelarasan Keluarga Malaysia dan melepaskan konvoi Skuad Keluarga Malaysia sebagai gimik prapelancaran.
Perdana Menteri berkata, idea Keluarga Malaysia juga mengambil semangat institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.
Katanya, dalam konteks negara, konsep Keluarga Malaysia meraikan keterangkuman yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia.
“Melalui penyelarasan berterusan, kita merangka pelbagai inisiatif dan usaha bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata, Skuad Keluarga Malaysia ditubuhkan bagi menyelaras semua mekanisme penyampaian bantuan, untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara yang diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Skuad ini kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (atau NGO).
“Seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelusuk negara dan jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri,” katanya.
Ismail berkata, bagi memastikan kejayaan Keluarga Malaysia setiap kementerian dan agensi kini sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat.
“Ini langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti diharapkan.
Untuk itu, katanya, kerajaan bakal memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan atau ‘Key Happiness Outcome’ yang juga pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
“Garis panduan itu akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia.
Sementara itu, katanya, keutamaan kerajaan kini untuk memerangi kemelut kesihatan dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah.
Katanya, usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahan ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang dimiliki.
“Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu, pascapandemik.
“Ekonomi wajar dipulihkan. Kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan. Keyakinan pelabur harus dikembalikan.
“Yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada Keluarga Malaysia, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” katanya.
Sumber : Berita Harian